« Perfect? | Main | Bahasa Terindah »

Thursday, 17 April 2008

Dikeranakan CINTA, Mereka Dipenjara Ujian

Bismillahir Rahmanir Raheem

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).  (Al Baqarah: 214)

Sungguh oleh sebab terlalu cintanya Yusuf kepada Allah, dia diduga dengan godaan isteri tuannya hingga dipenjara kerana fitnah.

Sungguh Muhammad Abdullah itu, Rasulullah yang paling dikasihi Allah, paling dekat dengan kita umatnya telah dibiarkan merasai kesusahan berdakwah. Ditohmah, dicaci, dicarut, diugut bunuh, dihunjam anak panah, diserang bunuh, dibunuh rakannya, dipulau kaum sekelilingnya, dibiar lapar, diperangi negerinya.

Kini di Mesir 15 April 2008 lalu, episod itu berlaku lagi dan ia takkan berhenti setakat itu. Hingga benar pengumuman Allah kepada semua bahawa kebenaran itu memang menuntut yang besar dari diri setiap Muslim.

15 April) Mahkamah Tentera Mesir menjatuhkan hukuman ke atas Khairat Syatir, Naib Kedua Mursyid Am Ikhwan Muslimin dan anggota Ikhwan yang dikenali sebagai ‘kumpulan 40′. Beliau dan 39 pimpinan dan ahli Ikhwan yang lain telah ditahan pada 12 Disember 2006 yang lepas di atas dakwaan ‘penyeludupan dan pembersihan wang (money laundering)’ dan ‘cubaan menghidupkan semula organisasi yang telah diharamkan’. Dakwaan itu sepatutnya dibicarakan di mahkamah biasa. Tetapi pihak kerajaan Mesir menukarnya ke Mahkamah Tentera pada 6 Februari 2007 dan mereka tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Di antara mereka yang aku baca tulisan tangannya seperti saudara Dr. Taufiq Yusuf Al Waie. Dipenjarakan 10 tahun.

Ya Allah betapa hebat perjuangan kekasihMu kau berikan. Terkedu kelu, demi yang dicita rupanya begitu besar galang gantinya. Meluap darah mereka Kau beli. Mereka redha memberi.

Bacaan luas:

Surat Terbuka oleh Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni kepada saudara kita, yang menjadi tahanan kejam mahkamah manusia bongkak di Mesir.

Saudara yang saya kasihi dan guru yang mulia,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Saya berasa cukup pedih mendengar penipuan dan cerita-cerita reka yang ditujukan kepada peribadi saudara. Penipuan ini datangnya dari manusia-manusia yang paling lembut kita sifatkan mereka sebagai manusia yang sakit hati dan rosak akal. Kita minta moga-moga Allah akan memberikan kepada kita keselamatan di dalam agama kita, di dunia dan di akhirat.Saya berasa cukup tertekan, marah dan sedih terhadap mereka. Ketika saya membaca sebuah buku, saya mendapati beberapa ma’ani yang cukup indah. Ia menghilangkan tekanan yang saya tanggung. Saya suka untuk berkongsi ma’ani tersebut dengan saudara dan guru saya yang saya cintai. Moga-moga ia akan memberikan kegembiraan kepada saudara dan saudara-saudara kita yang lain. 

1. Orang-orang yang dungu itu mereka mencela Pencipta dan Pemberi rezeki. Mereka menghina Tuhan Yang Esa yang tidak ada Tuhan selain dariNya. Apa yang kita jangkakan akan berlaku kepada mereka?

2. Di dalam kehidupan ini, saudara akan menghadapi banyak kesakitan dalam pelbagai bentuk dan gambarannya selagi mana saudara menyumbang, memberi dan melakukan perubahan. Mereka tidak akan berhenti menyakiti saudara sehinggalah saudara lari masuk ke dalam lubang tanah atau mendaki tangga menuju ke langit. Adapun selagi mana saudara masih lagi berada di sisi mereka, nantikan sahajalah tindakan-tindakan mereka yang akan menyakitkan saudara. Saudara akan menangis dan hati saudara akan tergiris. Mereka marah kepada saudara kerana saudara mendahului mereka dari sudut takwa, ilmu, akhlak, harta dan kedudukan di sini manusia. Kita menganggap itu semua adalah suatu anugerah yang hebat dari Allah. Mereka menyakiti saudara agar saudara meninggalkan segala kelebihan dan nikmat Allah yang diberikan kepada saudara dan mencampakkan segala sifat-sifat terpuji dan segala ma’ani kebaikan yang saudara miliki. Jadilah seperti batu tegap dan menakutkan yang mampu menghadapi tekanan, membuktikan kewujudan dan membuktikan kemampuannya untuk terus wujud.

3. Jika saudara mendengar kata-kata mereka, akan tercapailah matlamat mereka untuk mengotorkan kehidupan saudara. Mohonkan kemaafan. Palingkan diri dari mereka. Jangan sekali-kali berasa sempit terhadap apa yang rancang. Celaan gila mereka terhadap diri saudara adalah satu penterjemahan penghormatan terhadap saudara. Sehebat mana kedudukan saudara di sisi mereka, sebesar itulah celaan, pendustaan dan rekaan yang akan mereka lemparkan.

4. Allah mencipta makhluk agar mereka berzikir kepadaNya. Allah mengurniakan nikmat kepada manusia agar mereka mensyukuriNya. Tetapi ramai yang menyembah selain Allah dan ramai juga yang berterima kasih kepada selain Allah. Jadi janganlah sekali-kali terkejut jika melihat mereka tidak berterimakasih terhadap jasa saudara kepada mereka, memadamkan segala kebaikan saudara dan melupai sumbangan saudara. Jangan terkejut jika mereka mengisytiharkan permusuhan dan melemparkan api kedengkian yang mendalam terhadap saudara. Mereka tidak lakukan semua itu kecuali kerana saudara berbuat baik kepada mereka. “dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!” (Al-Buruj: 8). Jangan sekali-kali berasa kecewa terhadap apa yang mereka lakukan.

5. Kekasih-kekasih Allah yang diuji dengan ujian akan ditempatkan di dalam syurga Firdaus. “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (Ar-Ra’d: 24) “mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya.” (Al-Baqarah: 157)

6. Allah berfirman: “mereka tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah Dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.” (Ali Imran: 111). “jangan sekali-kali kamu berasa sempit terhadap apa yang mereka lakukan.” (Al-Nahl: 157). “dan janganlah Engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).” (Al-Ahzab: 4 8)

Seorang penyair berkata:
“Apakah yang akan memudharatkan laut yang luas
sekiranya hanya seorang budak yang membalingnya dengan batu?”

7. Jangan sekali-kali bersedih kerana Allah akan membela saudara, malaikat akan memohon keampunan buat saudara, orang-orang yang beriman akan mendoakan saudara di setiap solat mereka dan Nabi s.a.w. akan memberikan syafaat buat saudara. “Allah akan membela orang-orang yang beriman. Allah tidak menyukai golongan yang mengkhianati dan kufur.” (Al-Hajj)

8. Jangan sekali-kali bersedih. Sabar menanggung kesukaran adalah jalan menuju kejayaan dan kebahagiaan. “Bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah Yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu.” (Yusof: 18). “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (Ar-Ra’d: 24)

9. Jangan sekali-kali bersedih dengan cacian manusia yang bathil dan hasad. Sesungguhnya saudara akan mendapat pahala di atas kesabaran saudara. “dan (dengan Yang demikian) bersabarlah (Wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana Sesungguhnya Engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan serta pengawasan kami” (At-Tur: 4 ) 8)

Seorang penyair berkata:
“Apabila seorang pemuda, kemuliannya tinggi mencecah langit
Jadilah ia dalam golongan bintang-bintang yang berbaris
Mereka memanahnya dengan panah dengan penuh kekuatan
Apa yang mereka lakukan (anak panah) itu tidak sekali pun mengenainya”

10. Kemanisan ganjaran ujian melupakan kita keperitannya. Tahniah diucapkan kepada saudara atas ganjaran yang agong dan pahala yang besar dari Allah yang Maha Perkasa. Manusia yang paling berat diuji adalah para Nabi kemudian martabat seterusnya dan martabat seterusnya. Begitulah saudara pada tanggapan kami dan kami tidak sekali-kali memuji manusia melebihi pujian terhadap Allah.

Saudara yang dikasihi,

Ketahuilah bahawa saudara di sisi kami adalah manusia mulia dari keturunan yang mulia, manusia yang amanah dari keturunan yang amanah, manusia berakhlak dari keturunan yang berakhlak dan manusia yang suci dari keturunan yang suci. Kami tidak pernah melihat dari saudara selain kebaikan. Persaksian ini kami berikan di hadapan Allah dan Allah menjadi saksinya.

Saudara yang dikasihi,

Alangkah indah apa yang diajarkan kepada kita oleh generasi sebelum kita:
“Sesiapa yang menjual dirinya kepada Allah, tidak ada kemampuan ke atasnya oleh sesiapa sahaja yang ingin menyakitinya.”

Saudaramu

——————

“Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

(Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanmu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut agama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu”. dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): “Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?

Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-bukti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)”.

Dan Sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.”

(Ibrahim: 42-46)

                            

Comments

Terharu bila baca artikel ni..Pejuang Islam takkan tunduk/takut kepada pemerintah yang zalim @ musuh Islam kerana dihati mereka syahid menunggu.Biarpun segala ancaman dan seksa mereka rasai.Tapi hairan juga bila ada orang sanggup jual agama untuk tujuan dunia...Tak takut ke???

Post a comment

Post a comment

Name:

You are currently signed in as .