Memahami Kezaliman ISA (6)
Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini menerusi abuurwah@gmail.com.
SIAPA YANG JADI MANGSA ISA?
ISA Digunakan untuk Berbagai-bagai Tujuan Selain Keselamatan Walaupun tujuan ISA diwujudkan oleh kerajaan pada tahun 1960 adalah bagi menghadapi ancaman komunis dan kegiatan subversif terhadap negara, namun akta ini telah digunakan untuk bermacam-macam tujuan selain daripada tujuan yang asal.
Sejak itu, kerajaan telah menjustifikasikan tindakannya menahan pelbagai lapisan rakyat negara ini di atas sebab telah memudaratkan dan mengancam keselamatan negara.
Senarai Mangsa ISA
Senarai mereka yang pernah ditahan di bawah ISA sejak tahun 1960 terdiri daripada mereka yang dikatakan telah mengancam keselamatan negara dengan pelbagai tuduhan. Antaranya adalah:
- Aktivis-aktivis NGO yang menentang pembinaan empangan Bakun di Sarawak
- Pembuat pasport palsu
- Pengklon telefon bimbit
- Pengklon kad pra-bayar telefon awam
- Ahli forum yang bercakap untuk menyokong penggunaan bahasa ibunda dalam pendidikan
- Pembuat IC (kad pengenalan) palsu
- ‘penyebar khabar angin’ melalui internet
- ahli-ahli parti pembangkang terutama Parti Buruh dan Parti Rakyat pada tahun 1960an bagi tujuan menghalang mereka mencapai kejayaan dalam pilihan raya yang diadakan pada masa itu
- ahli kumpulan yang dituduh mengamalkan ajaran sesat
- pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kumpulan Al-Arqam
- penganut ajaran Syi’ah
- ahli-ahli akademik
- wartawan dan aktivis kebebasan media
- ahli-ahli politik disebabkan aktiviti dan kepercayaan politik mereka
- aktivis dan pemimpin pelajar
- ahli-ahli Parlimen pembangkang dan Ketua Pembangkang di Parlimen
- orang yang disyaki terlibat sebagai komunis
- aktivis masyarakat yang membangkang pembinaan plaza tol di Cheras
- penulis laporan peristiwa Memali menurut versi beliau sendiri sebagai sanggahan terhadap versi kerajaan
- ahli-ahli politik dan individu-individu yang didakwa terbabit untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia
- pemimpin dan ahli kumpulan yang didakwa mahu menegakkan negara Islam di Malaysia
- aktivis kesatuan sekerja yang mengambil tindakan industrial dalam kes Sistem Penerbangan Malaysia dan kesatuan buruh-buruh estet
- orang yang terlibat memiliki atau mendapatkan senjata api
- mengedar risalah anti-Amerika dengan berdemonstrasi anak beranak seramai dua orang!
- Penyokong Reformasi yang mendapatkan khidmat bomoh untuk menjatuhkan Dr. Mahathir!!
- Setiausaha Perdana Menteri yang dituduh menjadi ejen KGB, Rusia
- Aktivis reformasi yang dituduh mahu mendapatkan bom
- Aktivis agama yang didakwa mahu menyebarkan ajaran Kristian
- Pembuat syiling palsu
- Orang-orang yang terlibat dengan kegiatan tekong dan pendatang tanpa izin (PATI)
- Beberapa orang yang didakwa sebagai ahli Pertubuhan Pengganas Antarabangsa
- Ahli-ahli UMNO yang berpihak kepada Team B semasa krisis UMNO 1987 Tokoh politik yang didakwa menyokong tuntutan Brunei terhadap Limbang di Sarawak
- Dua orang timbalan menteri yang dituduh ada hubungan dengan wartawan Singapura, membuat ucapan-ucapan di televisyen serta ada hubungan dengan pihak berkuasa Soviet di Kuala Lumpur
- Ahli politik yang mengkritik dasar pilih kasih kerajaan dalam memberi kontrak dalam projek Lebuhraya Utara-Selatan
- Pemimpin-pemimpin NGO yang telah berjaya mendapatkan injunksi mahkamah terhadap UEM, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan UMNO daripada terus menerima projek-projek penswastaan daripada kerajaan
- Aktivis alam sekitar yang menentang kerja-kerja pembalakan di Sarawak
- Seorang menteri kabinet yang didakwa terlibat menyokong Indonesia semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia
- Seorang pengarah bank yang didakwa melakukan pecah amanah
- Orang yang berniat meletupkan empangan
- Orang yang terlibat dalam kontroversi tentang pemilihan dan perlantikan pengetua-pengetua sekolah jenis kebangsaan Cina yang tidak memiliki kelayakan dalam Bahasa Mandarin
- Orang yang didakwa menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963
- Seorang ahli politik dan guru agama yang hendak ditahan dengan menggunakan kekerasan tetapi berakhir dengan pembunuhan di atas alasan beliau melindungi aktivis komunis!
- Seorang yang menyumbang wang sebanyak RM130.00 kepada umat Islam di Mindanao melalui MILF dan dituduh pengganas
- Penyokong-penyokong parti politik yang didakwa terlibat dalam isu kafir mengkafir
- Lima orang ditahan kerana dikaitkan dengan siri kebakaran yang berlaku di bandaraya Kuching, Sarawak
- Seorang yang terselamat daripada hukuman gantung sampai mati dalam satu kes perbicaraan, setelah mahkamah membebaskannya, beliau ditahan di bawah ISA. Beliau ditahan selam 12 tahun di bawah ISA
- Anwar Ibrahim setelah matanya lebam dibelasah oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, tidak pada saat beliau ditahan pada malam 20 September 1998
Pun Boleh Masuk Dalam Senarai
Di samping itu secara terbuka dari semasa ke semasa, kerajaan juga mengancam untuk menggunakan ISA terhadap:
- Penganalisis kewangan yang membuat laporan yang tidak berpihak kepada kerajaan tentang perkembangan ekonomi negara pada tahun 1998
- Aktivis-aktivis NGO yang menubuhkan satu tribunal untuk menyiasat penyalahgunaan kuasa oleh polis
- Mereka yang terlibat dan mereka yang mengedarkan album-album cetak rompak
- Mereka yang terlibat dalam penipuan saham di Bursa Saham
- Mereka yang dituduh sebagai pengkhianat politik
- Mereka yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik
- Mereka yang menganjurkan fanatik agama di kalangan orang-orang Islam
- Mereka yang terlibat dalam kumpulan yang digelar “anti-hadith”
- Mereka yang terlibat mengkritik dasar-dasar dan pelaksanaan program-program kerajaan di kalangan kumpulan minoriti, pekebun, buruh dan peneroka bandar (setinggan)
- Mereka yang menyebar khabar angin bahawa terdapat ‘pengait’ yang sedang bermaharajalela di Sabah
- Mengedarkan risalah yang menjejaskan keamanan dan membangkitkan perasaan tidak puas hati rakyat yang boleh menjurus kepada rusuhan kaum
- Orang yang ditahan bagi tujuan tawar-menawar bagi membuat pengakuan untuk mendapatkan ‘bukti’
- Ahli-ahli akademik bagi menghalang mereka membincangkan isu jerebu yang melanda negara
- Wartawan-wartawan asing yang tidak melaporkan ‘dengan benar’ kes perbicaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim


Comments