Oleh: Saari SungibKolum ini memuatkan
himpunan tulisan yang mengungkapkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Sebagai bekas tahanan ISA, kolumnis tentunya memahami
hakikat sebenar di sebalik kelangsungan akta tersebut. Begitupun, para
pembaca masih dialu-alukan mengirim ulasan terhadap tulisan ini
menerusi abuurwah@gmail.com.
DI MANA LAGI TERDAPAT UNDANG-UNDANG SEPERTI ISA?
Pencabulan Hak Asasi Manusia Berleluasa
Amnesty International melaporkan terdapat 15 buah negara di kawasan Asia-Pasifik yang menahan rakyatnya tanpa perbicaraan.
Terdapat pula tahanan yang dilayan dengan buruk dan diseksa semasa
berada di bawah tahanan polis atau pasukan keselamatan di 19 buah
negara.
Jika istilah penahanan pencegahan atau penahanan pentadbiran digunakan, senarai ini pasti bertambah lagi.
Amnesty International dalam sebuah laporan lain menyenaraikan
Argentina, Brazil, Perancis dan Portugal melaksanakan undang-undang
penahanan pencegahan walaupun sebelum peristiwa serangan 11 September
2001 di New York City lagi.
Bahkan Belgium dan Amerika Syarikat turut disenaraikan sebagai dua
buah negara yang melaung-laungkan hak asasi manusia yang turut memiliki
undang-undang penahanan bagi tujuan pencegahan.
Bahkan di Amerika Syarikat, amalan penahanan pencegahan yang
sebenarnya adalah penahanan tanpa bicara telah disalahgunakan dengan
begitu meluas sekali.
Jika dilihat di segi amalan pihak imigresen di Amerika Syarikat
melayani pemohon-pemohon suaka politik di negara tersebut, maka rekod
penahanan tanpa bicara di Amerika Syarikat adalah amat buruk sekali.
Warisan Amalan Zalim
Semasa pemerintahan Soviet Union dahulu, penahanan pencegahan digunakan dengan meluas sekali.
Kuasa untuk melakukan penahanan seumpama ini diserahkan sepenuhnya kepada polis dan pihak penguatkuasaan yang lain.
Tindakan menggunakan gas beracun untuk ‘menyelesaikan’ masalah
tindakan pejuang-pejuang Chechen menawan sebuah panggung di Moscow oleh
pihak berkuasa Rusia baru-baru ini menunjukkan saki baki pendekatan
yang diwarisi semasa rejim Soviet Union tersebut.
Dalam kejadian tersebut seramai 117 orang maut. Sebelum itu pun
pihak berkuasa Rusia telah berterusan menahan beratus-ratus penduduk
Chechnya tanpa didakwa di mahkamah.
Penahanan Tanpa Bicara di Perancis dan Belgium
Perancis sebuah negara yang mempelopori hak asasi manusia sejagat
turut mengamalkan lebih daripada satu ribu undang-undang di negara itu.
Undang-undang di Perancis amat keras terhadap orang awam tetapi agak ‘berlembut’ terhadap ahli-ahli politik.
Undang-undang penahanan bagi tujuan pencegahan turut diamalkan di
Perancis. Tetapi pada tahun 1970, undang-undang seumpama itu telah
diletakkan secara eksklusif di bawah kuasa mahkamah dan badan kehakiman.
Peruntukan yang sama juga dilaksanakan di Belgium. Di Belgium,
seseorang yang ditahan di bawah undang-undang bagi tujuan pencegahan
akan dihadapkan ke mahkamah terbuka setiap bulan bagi menentukan sama
ada ia masih menjadi ancaman kepada masyarakat sekiranya ia dibebaskan.
Penahanan Tanpa Bicara di Turki
Turki turut melaksanakan undang-undang penahanan tanpa bicara.
Seorang aktivis wanita Islam, Gus Aslan pernah dipenjarakan selama tiga
tahun tanpa sebarang perbicaraan. Nasreen Sideek, aktivis dan ahli
politik kaum Kurdis pula telah ditahan sebagai tahanan politik.
Namun disebabkan usaha Turki untuk menjadi anggota EU (European
Union), Turki sedang melakukan langkah-langkah untuk menghapuskan
hukuman bunuh dalam keadaan aman, memberi kebebasan bersuara dan
meningkatkan lagi hak-hak etnik kaum Kurdis.
Dengan meletusnya perang Amerika Syarikat terhadap Iraq, adalah
dikhuatiri demi mendapatkan sokongan Turki, Amerika akan menggadaikan
autonomi yang sedang dirundingkan oleh kaum Kurdi dengan kerajaan Turki.
Diskriminasi terhadap kumpulan minoriti telah berakar umbi di Turki
di mana penafian Turki terhadap hak-hak kumpulan minoriti mengatasi apa
yang dilakukan di Israel dan apa yang pernah dilakukan di Afrika
Selatan semasa apartheid.
Penahanan Tanpa Bicara di Amerika Latin
Columbia yang menghadapi masalah dalaman turut berusaha untuk memberi kuasa yang lebih luas kepada pasukan keselamatan.
Kuasa tersebut diluluskan pada bulan September 2002 di
kawasan-kawasan tertentu untuk membolehkan pasukan keselamatan
menyerang dan bertindak ke atas mana-mana perhimpunan aman yang
diadakan.
Kuasa juga diberikan untuk membolehkan polis menggeledah tanpa
pegawai-pegawai daripada Jabatan Peguam Negara. Di zon-zon yang
diisytihar sebagai zon ‘pemulihan’ dan ‘konsolidasi’, para wartawan
perlu mendapat permit memasuki zon tersebut.
Penahanan Tanpa Bicara di Dunia Arab
Di dunia Arab pula, iaitu terdiri daripada 22 buah negara yang
menganggotai Liga Arab, keadaan hak asasi manusia amat buruk sekali.
Kajian dalam Arab Human Development Report 2002 menunjukkan tiadanya
kebebasan sebagai salah satu daripada faktor utama kenapa negara-negara
Arab jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain di dunia.
Umumnya, di negara-negara Arab tiada sebarang pemisahan atau tiada pemisahan yang jelas di antara eksekutif dan kehakiman.
Di Arab Saudi, tumpuan para pemerintah adalah untuk mempastikan
kekuasaan monarki dikekalkan di kalangan kaum kerabat diraja dengan
tiadanya perlembagaan bertulis, tiada parti politik dan tiada
pilihanraya.
Di negara ini tidak terdapat kesatuan sekerja yang bebas, tiada
parti pembangkang yang tulen, tiada kebebasan media dan tiada sedikit
pun toleransi terhadap apa-apa kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan.
Kerajaan di negara-negara Arab tidak menilai nyawa rakyat mereka
sendiri dan telah meningkatkan cara-cara untuk menindas dan membunuh
rakyat dengan cara yang cukup sempurna.
Seolah-olah tidak dapat mencadangkan yang lebih baik, Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia, PBB telah mencadangkan agar kerajaan Arab Saudi
memendekkan tempoh penahanan yang dibuat terhadap seseorang yang
didakwa sebelum dihadapkan ke mahkamah.
Pada tahun 2003, Parlimen Mesir yang didominasi oleh parti pimpinan
Hosni Mubarak, telah mengundi untuk meneruskan undang-undang darurat
bagi tempoh tiga tahun lagi, iaitu sehingga 2006.
Undang-undang itu turut mengharamkan perhimpunan aman, memberi kuasa
kepada tribunal tentera untuk membicarakan kes-kes kesalahan jenayah
serta membolehkan pihak keselamatan menahan sesiapa tanpa bicara dan
sebarang pendakwaan.
Undang-undang tersebut diluluskan tanpa sebarang debat di Parlimen.
Bilangan tahanan politik di Mesir kini adalah seramai 30,000 orang.
Bilangan ini pada pertengahan 1990 adalah 60,000 orang. Penyeksaan
digunakan secara rutin terhadap tahanan-tahanan politik ini.
Di Jordan, Raja Abdullah dalam tempoh dua tahun sahaja telah
mengeluarkan 80 undang-undang yang bersifat sementara. Semua perjumpaan
dan perhimpunan telah diharamkan.
Wartawan dipenjarakan kerana didakwa telah menyemai benih-benih
kebencian terhadap kerajaan. Parlimen boleh membatalkan arahan-arahan
diraja ini, tetapi pada tahun 2003 parlimen telah dibubarkan.
Penahanan Tanpa Bicara Tambah Berleluasa Selepas Serangan 11 September
Menurut Rumah Putih, selepas serangan pada 11 September 2001 hingga
akhir tahun 2002, seramai 2,700 orang yang disyaki sebagai anggota
rangkaian Al-Qaeda telah ditahan di seluruh dunia.
Daripada jumlah itu, 600 ditahan di pangkalan Amerika di Guantanamo,
Cuba. 500 ditahan di Asia, 200 ditahan di Eropah, 100 orang ditahan di
negara-negara Timur Tengah dan 40 orang ditahan di Amerika Selatan.
Kesemua 600 orang yang ditahan di Guantanamo telah dihalang daripada mendapatkan khidmat peguam.
Pelbagai undang-undang telah diluluskan selepas serangan 11
September di atas nama melindungi kebebasan dan memerangi terorisme.
Namun apa yang berlaku adalah sebarang bangkangan terhadap dasar-dasar
kerajaan turut dilabelkan sebagai terorisme.
Undang-undang dan peraturan keselamatan turut diperketatkan di
negara-negara Asia Pasifik khususnya Singapura, Pakistan, India dan
Malaysia.
Apabila Presiden Bush mengeluarkan kenyataan: “Are you with us or
against us?”, negara-negara di Asia Pasifik yang beria-ia benar mahu
menyenangkan hati Bush termasuklah Filipina, Malaysia, Taiwan dan Korea
Selatan.
Singapura pula mendukung sepenuhnya anggapan Amerika Syarikat bahawa terorisme adalah satu Perang Dingin dalam bentuk yang baru.
Associated Press melaporkan bahawa sejak serangan 11 September,
pelbagai undang-undang telah diluluskan untuk menyekat hak asasi
seseorang warganegara.
Ini termasuk di Amerika Syarikat, Kanada, Britain, Perancis, Jerman,
Singapura dan Korea Selatan. Undang-undang ini semuanya menjurus untuk
melengah-lengahkan seseorang yang disyaki daripada dihadapkan dengan
segera ke mahkamah.
Berikutan perkembangan ini, lima buah negara bekas Soviet, iaitu
Kazakhstan, Kirgystan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan
masing-masing memperketatkan undang-undang menekan pembangkang di atas
nama menjaga keselamatan negara daripada ancaman terorisme.
7,000 orang tahanan politik masih merengkok dalam penjara di Uzbekistan.
Pihak berkuasa India pula selepas peritiwa 11 September menahan 131
orang di bawah undang-undang anti-terorisme kerana dikatakan terlibat
mencetuskan rusuhan agama di negara tersebut.
Undang-undang yang membolehkan tahanan tanpa bicara selama 6 bulan bagi setiap perintah tahanan turut diluluskan di India.
Dengan menggunakan undang-undang anti-subversif, pihak berkuasa di
China telah memenjarakan wartawan, aktivis buruh, usahawan internet dan
ahli-ahli akademik.
Hong Kong yang diberikan kebebasan dan autonomi pada 1 Julai 1997
dan mengamalkan dwi-sistem turut diminta oleh China untuk melaksanakan
undang-undang anti-subversif tersebut.
Undang-undang tersebut memperuntukkan polis diberi lebih kuasa untuk
menyiasat jenayah terhadap negara dan menjatuhkan hukuman penjara
seumur hidup bagi kesalahan seumpama itu.
Kesan daripada perkembangan ini, negara-negara Eropah yang menjamin
hak asasi sejagat dengan memberi suaka politik kepada warga asing telah
mula menutup ruang tersebut.
Denmark, antara negara yang paling banyak memberi suaka politik
telah menutup kemudahan pejabat di sempadan negara tersebut. Langkah
ini akan diikuti pula oleh Belanda, United Kingdom dan Italy.
Australia juga dilaporkan sedang memikirkan untuk melaksanakan
undang-undang seperti ISA di Malaysia, dengan tempoh penahanan tanpa
bicara yang pendek. Namun langkah ini menerima kecaman dan bangkangan
yang amat kuat dari dalam negara itu sendiri.
Usaha meluluskan undang-undang menghadapi ancaman terorisme di
Amerika Utara, Eropah dan Asia sehingga kini telah memberi kesan buruk
kepada kedaulatan undang-undang kerana undang-undang tersebut telah
mendiskriminasi orang-orang Islam dan bangsa Arab khususnya.
Diskriminasi kaum seumpama ini adalah menyalahi prinsip asal undang-undang sejagat.
Beratus-ratus rakyat Iran dan negara-negara Timur Tengah pada hujung
tahun 2002 dipenjarakan setelah mendaftarkan diri di bawah peraturan
baru imigresen di Los Angeles.
Pihak berkuasa turut menetapkan tarikh akhir bagi mereka yang
berasal dari Iran, Iraq, Syria, Libya dan Sudan untuk mendaftarkan diri.
Terdapat lebih 600,000 rakyat Iran dalam buangan di California.
Keghairahan Amerika Syarikat untuk memerangi dan mendapat sokongan
negara-negara lain dalam usahanya memerangi terorisme telah menyebabkan
Amerika melupakan prinsip-prinsip di atas mana negara itu telah
didirikan.
Amerika Syarikat dan The Patriot Act
Sejak tahun 1970 lagi, kerajaan persekutuan Amerika Syarikat telah
meluluskan satu undang-undang penahanan tanpa bicara bagi tujuan-tujuan
pencegahan bagi pentadbiran District of Columbia.
Peruntukan undang-undang tersebut menjanjikan bahawa ia akan digunakan secara berhati-hati melalui kuasa mahkamah.
Namun para pengkritik mengecamnya kerana peraturan ini tidak sepenuhnya mematuhi peraturan kehakiman yang adil.
Sebaik sahaja selepas berlakunya serangan 11 September, peguam
negara Amerika Syarikat, John Ashcroff, bercadang untuk memperluaskan
kuasa FBI dan CIA.
Beliau mahu kuasa berasaskan budi bicara untuk menahan warga asing yang mengancam keselamatan negara dilaksanakan.
Melalui kuasa budi bicara ini, sebarang permohonan yang dijalankan
adalah tanpa perbicaraan dengan penilaian mahkamah yang paling minimum
sekali.
Presiden Bush turut mahu agar undang-undang baru itu memberi kuasa
yang lebih luas kepada kerajaan persekutuan untuk menyiasat, menahan
dan menghantar balik orang-orang yang disyaki ada hubungan dengan
kegiatan terorisme atau jenayah-jenayah lain.
Mereka yang melanggar syarat-syarat visa mereka ke Amerika Syarikat
boleh ditahan tanpa didakwa atau ikat jamin sehingga mahkamah
membatalkan penahanan tersebut.
Pada 31 Oktober 2001, Ashcroft telah mengeluarkan perintah eksekutif
bagi membolehkan pihak berkuasa memantau sebarang komunikasi antara
mereka yang dipenjarakan di bawah kuasa kerajaan persekutuan dengan
peguam-peguam mereka tanpa sebarang kelulusan daripada mahkamah.
Ashcroft mengatakan bahawa langkah ini diambil bagi menghalang
peguam-peguam itu daripada menjadi penghubung kepada kegiatan-kegiatan
terorisme.
Pada 13 November 2001, Presiden Bush telah mengeluarkan perintah
eksekutif untuk membenarkan mana-mana warga asing yang disyakinya
terlibat dengan terorisme untuk ditahan dan kemudian dibicarakan dalam
sebuah tribunal tentera.
Kuasa yang Berlebih-lebihan untuk Bush
Perkembangan-perkembangan ini berlaku kerana pada 26 Oktober 2001,
Presiden Bush telah menandatangani USA Pariot Act menjadi satu
undang-undang bagi Amerika Syarikat.
Dengan undang-undang ini, kuasa yang amat luas dan menyeluruh
diberikan kepada badan-badan penguatkuasaan tempatan dan agensi-agensi
perisikan antarabangsa dengan menghapuskan kuasa mahkamah untuk menilai
dan memastikan bahawa kuasa ini tidak disalahgunakan.
Dengan lulusnya undang-undang ini, pindaan-pindaan kecil dan besar
telah dilakukan kepada lebih daripada 15 buah undang-undang yang telah
sedia diterimapakai di Amerika Syarikat.
Undang-undang ini memberi kuasa yang lebih kepada peguam negara
untuk menahan atau menghantar balik warga asing dengan campur tangan
mahkamah yang amat minimum atau tiada sama sekali daripada mahkamah.
The Patriot Act II
Setelah melaksanakan Patriot Act 2001 lebih dari setahun, pejabat
peguam negara merancang untuk mengemukakan kepada kongres Amerika
Syarikat Patriot II.
Jika Patriot I memberi kuasa untuk membolehkan pihak berkuasa
menahan tanpa bicara warga asing yang berada di Amerika Syarikat di
atas arahan peguam negara, Patriot II pula dicadangkan untuk memberi
kuasa kepada pihak penguatkuasa untuk menarik balik kerakyatan
mana-mana warga Amerika Syarikat yang dikatakan oleh kerajaan telah
memberi sokongan kepada aktiviti terorisme.
Patriot II juga membolehkan pihak berkuasa untuk memenjara atau
menghantar ke negara asal warga yang telah ditarik balik kerakyatannya
tadi tanpa sebarang perbicaraan.
Walau bagaimanapun, Patriot Act telah dikecam dengan hebat di
Amerika Syarikat. Satu persidangan Muslim-American telah mengecam dan
mengatakan bahawa Patriot Act adalah perlanggaran terhadap amalan yang
paling besar di Amerika Syarikat sehingga kini.
Badan-badan seperti American-Arab Anti-Discrimination Committee,
Alliance of Iranian Americans, Council on American-Islamic Relations
dan National Council of Pakistani American telah mengemukakan tindakan
undang-undang di mahkamah persekutuan Los Angelas di atas penangkapan
beramai-ramai ekoran kuatkuasa Patriot Act pada tahun 2002.
Tindakan undang-undang itu bertujuan untuk menyekat tindakan pihak
berkuasa daripada membuat sebarang tahanan sewenang-wenangnya bagi masa
hadapan.
Penahanan Zalim di Guantamo Bay
Dalam masa yang sama penahanan yang dilaksanakan terbukti
menimbulkan pelbagai masalah dan kesilapan di pihak kerajaan Amerika
Syarikat.
Dalam kes seorang yang disyaki anggota Al-Qaeda yang terlibat dalam
serangan 11 September untuk menutup malu, kerajaan sedang menimbangkan
sama ada membuangkan kes tersebut atau membicarakannya dalam sebuah
tribunal tentera.
Pada tahun 2003, hakim mahkamah di Amerika Syarikat telah
membenarkan tahanan tersebut untuk merujuk kepada fail-fail kerajaan
bagi membela dirinya.
Siasatan terhadap 598 orang tahanan di Guantanamo, Cuba sehingga
bulan Oktober 2002 juga memberikan hasil yang amat minimum. Namun tidak
jelas sama ada mereka akan dibebaskan atau tidak.
Tentang tahanan di Guantanamo, Cuba, jelas terbukti terdapat kes salah tangkap.
Pegawai-pegawai dari Islamabad yang mengadakan siasatan di sana
telah mengesahkan bahawa hanya lapan daripada 58 warga Pakistan yang
ditahan di situ sahaja yang benar-benar mempunyai hubungan dengan
Al-Qaeda.
Selebihnya adalah mereka yang ditangkap kerana ‘berkeliaran’ di kawasan yang dikuasai oleh tentera-tentera Pakatan Utara.
Didapati bahawa tentera Amerika Syarikat setelah menewaskan tentera
Taliban telah membayar kepada tentera Pakatan Utara US$5,000 bagi
setiap tawanan yang mengaku menganggotai Taliban dan US$20,000 bagi
setiap tawanan yang mengaku menjadi tentera Al-Qaeda.
Di atas tawaran inilah maka beberapa orang tentera Pakatan Utara
telah menangkap rakyat Pakistan, menyeksa dan memaksa mereka untuk
membuat pengakuan.
Di atas pengakuan seumpama inilah tawanan-tawanan tersebut diterbangkan ke Guantanamo.
Kes dua orang rakyat Amerika Syarikat, Jose Padilla dan Yaser Esam
Hamdi yang ditahan di Guantanamo turut menjadi kes mahkamah yang amat
sukar bagi pentadbiran Presiden Bush.
Pemerhati dan pakar undang-undang telah mula menyatakan bahawa jika
Amerika Syarikat benar-benar mahu memerangi terorisme, besar
kemungkinan ia perlu kepada undang-undang anti-terorisme yang lebih
sempurna.
Patriot Act dikecam keras kerana ruang untuk ia disalahgunakan adalah terlalu luas dan hebat sekali.
Undang-undang ini turut dikecam kerana ia menyalahi perlembagaan
Amerika Syarikat sebagaimana yang terkandung dalam First Amendment,
Fourth Amendment, Fifth Amendment, Sixth Amendment dan Eighth Amendment
yang mana semuanya menyentuh tentang hak-hak asasi manusia.
Undang-undang Zalim Zionis-Israel di Bumi Palestin
Dalam Defense Law 1945, Artikel 111 dan 112 dinyatakan bahawa
sesiapa sahaja boleh ditahan kerana apa-apa sebab sekali pun, untuk
tempoh masa yang tidak terhad, tanpa dibicarakan dan tanpa perlu
membuat sebarang pendakwaan ke atasnya.
Undang-undang inilah yang digunakan oleh pihak Zionis untuk terus menguasai bumi Palestin sebaik sahaja mereka bertapak di situ.
Selepas undang-undang ini, pemerintah Israel menggunakan Military
Order 378 untuk menangkap dan memenjarakan rakyat Palestin tanpa bicara.
Military Order 378 telah dikeluarkan pada tahun 1970.
Sejak itu ia telah dipinda beberapa kali untuk memperketatkan.
Undang-undang ini membolehkan rakyat Palestin ditahan tanpa waran di
atas sebab semata-mata disyaki terlibat melakukan sesuatu jenayah.
Pihak berkuasa yang membuat penangkapan adalah Israeli General Security Service, GSS(2).
Penangkapan tidak dimaklumkan kepada keluarga yang terbabit. Ianya
hanya dimaklumkan kepada beberapa NGO di mana keluarga yang mengetahui
kewujudan NGO ini menghubunginya untuk mengetahui nasib saudara mara
mereka yang ditangkap.
Sehingga tahun 1994 seseorang itu boleh ditahan sehingga 18 hari tanpa dihadapkan ke mahkamah.
Selepas 1994 tempoh ini disingkatkan ke 11 hari dan pada tahun 1997 ianya dikurangkan lagi ke 8 hari.
Namun di bawah Military Order 378, hakim mahkamah tentera boleh
memanjangkan tempoh ini dan menghalang tahanan bertemu peguamnya
sehingga ke 90 hari.
Pihak yang menjalankan penyiasatan juga boleh memanjangkan tempoh
penahanan tanpa peluang orang tahanan bertemu peguamnya untuk tempoh
selama 30 hari.
Hakim-hakim di mahkamah tentera turut boleh menambah 30 hari lagi
tahanan tanpa membolehkan orang tahanan bertemu peguamnya sekiranya
pemerintah tentera mengarahkan secara bertulis sebab-sebab langkah
seperti itu perlu diambil.
Military Order 1500
Pada 5 April 2002, satu lagi undang-undang baru dikeluarkan.
Undang-undang ini dinamakan Military Order 1500. Undang-undang ini
berkuatkuasa pada 29 Mac 2002.
Seorang pegawai GSS(2) yang sekurang-kurangnya berpangkat kapten
atau pegawai polis yang setanding dengannya boleh mengeluarkan arahan
bertulis menahan seseorang selama tidak lebih dari 18 hari.
Orang tahanan tidak dibenarkan bertemu dengan peguamnya dalam tempoh tahanan ini.
Setelah tamat 18 hari, orang tahanan tersebut akan dihadapkan ke
mahkamah tentera yang mungkin akan menyambung penahanannya dan juga
mengeluarkan arahan menyekatnya daripada bertemu dengan peguamnya.
Seperti juga Military Order 378, perintah untuk memperbaharui penahanannya bagi tempoh sehingga 90 hari mungkin dikeluarkan.
Dalam beberapa bulan berikutnya, beberapa lagi peraturan, iaitu Military Order 1501, 1502 dan 1503 telah dikeluarkan.
Semuanya bagi tujuan untuk memanjangkan tempoh penahanan dan menghalang tahanan daripada bertemu dengan peguam-peguam mereka.
Selepas para tahanan melalui soal-siasat di bawah Military Order
378, atau 1500, atau 1501, atau 1502 atu 1503, mereka akan dikenakan
penahanan pentadbiran pula.
Penahanan ini membolehkan seseorang itu terus ditahan tanpa bicara.
Perintah tahanan dikeluarkan oleh seorang pemerintah tentera untuk sesuatu tempoh tertentu yang biasanya sehingga enam bulan.
Seorang tahanan boleh merayu pada mulanya kepada mahkamah tentera dan kemudian ke mahkamah Agung Israel.
Mereka dibenarkan mendapat khidmat peguam pilihan mereka sendiri.
Namun peguam-peguam mereka akan dihalang daripada mendapatkan
bukti–bukti kenapa anak-anak guam mereka dikenakan penahanan
pentadbiran.
Mahkamah menentukan berapa banyak bukti yang boleh didedahkan kepada
peguam-peguam bela di atas sesuatu keselamatan. Tempoh penahanan
seumpama ini boleh dilanjutkan tanpa had, selepas enam bulan disambung
enam bulan lagi dan seterusnya.
ISA di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam
Adapun undang-undang dengan nama yang sama dan format yang sama
seperti ISA di dunia ini hanya terdapat di Malaysia, Brunei dan
Singapura.
ISA di ketiga-tiga negara merupakan undang-undang yang membolehkan
pihak polis menahan sesiapa yang dipercayai telah atau mengancam
keselamatan negara bagi satu tempoh sehingga 60 hari dan selepas itu
dikenakan perintah tahanan selama dua tahun tanpa bicara.
Perintah tahanan dua tahun ini boleh diperbaharui sampai bila-bila tanpa had.
Bermula dari Hari Malaysia pada 1963 sehingga Singapura keluar dari
Malaysia pada 1965, undang-undang ISA 1960 diterimapakai di Singapura.
Selepas tahun 1965, Singapura mempunyai versi ISAnya yang sendiri, namun kandungannya pada dasarnya adalah sama dengan ISA 1960.
Kuasa mengeluarkan perintah tahanan dua tahun adalah di bawah kuasa Presiden Republik.
ISA di Negara Brunei Darussalam dikuatkuasakan pada tahun 1982.
Undang-undang ini turut memperuntukkan kuasa penahanan tanpa bicara
bagi satu tempoh dua tahun setiap satu dengan boleh diperbaharui untuk
satu tempoh lagi selama dua tahun berulang kali tanpa had.
Walau bagaimanapun, dalam kes yang berlaku di Brunei, ditetapkan
bahawa tiada mana-mana kuasa polis atau pihak berkuasa boleh menahan
seseorang untuk siasatan melebihi daripada 28 hari.
Pemerintah di Singapura pula masih mengeluarkan kertas putih yang
dibentangkan di Parlimen dan boleh didapati oleh orang ramai terhadap
sesuatu penahanan yang dibuat di bawah ISA di republik itu.
Pihak berkuasa Singapura turut memudahkan mana-mana NGO di republik
tersebut untuk menghulur bantuan bagi membantu hal-ehwal kebajikan
keluarga mereka yang ditahan ISA.
Tidak Perlu Kertas Putih di Malaysia
Keadaan ini amat berbeza sekali dengan pelaksanaan ISA di Malaysia.
Pihak polis telah sewenang-wenangnya menganggap bahawa mereka berhak
secara mutlak dan melaksanakan sepenuhnya peruntukan penahanan 60 hari
untuk tujuan soal-siasat tanpa merujuknya ke mahkamah.
Di Brunei tempoh ini tidak boleh melebihi 28 hari.
Walaupun sudah terdapat keputusan mahkamah Persekutuan yang melarang
pihak polis menghalang para tahanan daripada bertemu peguam mereka
untuk seluruh tempoh 60 hari, larangan ini tidak diendahkan oleh polis.
Larangan mahkamah seumpama itu boleh membawa implikasi bahawa pihak
polis tidak boleh sewenang-wenangnya menahan seseorang itu sepenuhnya
bagi tempoh 60 hari seperti keputusan mahkamah yang dibuat sebelum itu.
Walau bagaimanapun, perkembangan terbaru menyaksikan bahawa tahanan
telah dikenakan perintah tahanan dua tahun ke Kem Kamunting sebelum
tamatnya tempoh sepenuh 60 hari di bawah kuasa polis.
Pelaksanaan ISA di Malaysia turut menyaksikan sudah bertahun-tahun
kerajaan tidak lagi mengeluarkan kertas putih untuk menjelaskan kepada
Parlimen dan orang ramai mengapa sesuatu penahanan itu dilakukan.
Kerajaan tidak lagi boleh dipersoal dan dipertanggungjawabkan di atas sebarang penahanan ISA yang dilakukan lagi di negara ini.
Pada masa yang sama, pihak polis melalui SB berterusan
menakut-nakutkan keluarga tahanan yang cuba mengatur sebarang usaha
untuk membantu hal-ehwal keluarga mereka yang ditahan di bawah ISA di
negara ini.
Jika ada pun usaha untuk membantu kebajikan keluarga para tahanan
ISA, ianya dilaksanakan secara sembunyi-sembunyi oleh individu-individu
tertentu kerana takut diganggu oleh SB-SB.
Jika ada pun badan yang mahu membantu secara terbuka separti GMI
(Gerakan Mansuhkan ISA), tetap ianya hanya dilakukan dalam majlis yang
tidak dihebahkan kepada media dan orang ramai bagi mengelakkan diganggu
dan disekat oleh pihak polis.
Mahkamah Tiada Kuasa di Malaysia
Kehebatan ISA di Malaysia berbanding dengan undang-undang tanpa
bicara yang diamalkan di negara-negara lain adalah di segi sekatannya
kepada mahkamah untuk meneliti, mempersoal dan menilai keputusan yang
dibuat oleh Menteri.
Di Perancis, Belgium dan Amerika Syarikat yang turut terdapat satu
bentuk penahanan bagi tujuan-tujuan pencegahan, mahkamah masih
diberikan kuasa eksklusif untuk melaksanakan atau memantau pelaksanaan
undang-undang seperti ini.
Di Columbia yang undang-undang penahanan tanpa bicara dilaksanakan
dengan begitu luas sekali pun, mahkamah tetap diberi ruang menilai dan
menyemak keputusan dan tindakan pemerintah.
Turki turut akan meluluskan undang-undang bagi semakan mahkamah
dalam mana-mana kes penahanan yang diluluskan oleh pihak berkuasa.
Mesir, Jordan dan negara-negara di dunia Arab tidak boleh dijadikan ikutan.
Ini kerana di negara-negara tersebut hanya terdapat dua bentuk
sistem pemerintahan. Pertama, sistem diktator monarki yang menggenggam
sepenuhnya kuasa tentera di tangannya. Kedua, sistem diktator tentera,
yang kadang-kadang berselindung di sebalik pilihan raya umum yang
begitu terancang dan dikuasai sepenuhnya oleh tentera atau parti yang
berkuasa.
Mengambil kes penahanan tanpa bicara selepas serangan 11 September
2001 yang dilakukan di Amerika Syarikat seperti penahanan mereka yang
dituduh sebagai anggota-anggota Taliban dan Al-Qaeda di Guantanamo,
turut menyaksikan kes-kes seperti ini diheret ke mahkamah atau
didedahkan secara terperinci dan terbuka dalam media-media elektronik
dan cetak di seluruh dunia.
Sedangkan kes-kes penahanan ISA di Malaysia, khususnya Al-Ma’unah
dan kumpulan-kumpulan yang dilabelkan sebagai JI dan KMM, langsung
digelapkan daripada pengetahuan dunia luar.
Presiden Amerika Pun Boleh Diheret ke Mahkamah
Pelaksanaan undang-undang Partriot I yang kontroversial itu bakal
menyaksikan Presiden Bush dan peguam negara John Ashcroft diheret ke
mahkamah tertinggi persekutuan, Supreme Court pada tahun ini.
Patriot II pula pasti mengundang lebih banyak masalah kepada pentadbiran Bush sekiranya ia diluluskan dan dikuatkuasakan.
Ini kerana undang-undang penahanan tanpa bicara seperti dalam kes
Government of The United States v. Salerno di bawah peruntukan Bail
Reform Act 1984 terus sehingga kini menjadi kes duluan yang diputuskan
oleh mahkamah sebagai satu undang-undang yang telah mencabul
prinsip-prinsip perlembangaan Amerika Syarikat.
ISA Lebih Hebat daripada Undang-undang Zionis-Israel
Paling menarik adalah apabila dibandingkan ISA Malaysia dengan
undang-undang penahanan tanpa bicara yang dilaksanakan oleh
Zionis-Israel di bumi Palestin.
Military Order 378 kini memperuntukkan tempoh 8 hari maksimum bagi seseorang tahanan mesti dihadapkan ke mahkamah.
Tempoh ini pada mulanya adalah 18 hari, kemudian dipendekkan kepada 11 hari dan terkini 8 hari.
Dalam tempoh ini tahanan dapat bertemu dengan peguamnya.
Namun ISA Malaysia yang dilaksanakan sehingga kini, menghalang
sepenuhnya seseorang tahanan daripada bertemu dengan peguamnya bagi
tempoh sehingga 60 hari.